Saturday 26 March 2011

PELANCARAN TIANG SERI NEGARA

Tuanku Mizan lancar buku legasi Yang di-Pertuan Agong

TUANKU Mizan Zainal Abidin menerima cenderamata daripada Azizah Mokhzani pada pelancaran buku Tiang Seri Negara, Yang di-Pertuan Agong Semenjak 1957 sambil disaksikan Tengku Razaleigh Hamzah di Kuala Lumpur, semalam. - Bernama


KUALA LUMPUR 14 Mac -- Rakyat berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat keperibadian serta legasi kesemua 13 Yang di-Pertuan Agong yang bersemayam di negara ini menerusi penerbitan buku bertajuk Tiang Seri Negara, Yang di-Pertuan Agong Semenjak 1957.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan menyempurnakan pelancaran buku tersebut di Taman Perdana Diraja di sini.
Buku tulisan Datin Azizah Mokhzani dan diterbitkan Arus Intelek Sdn. Bhd. itu mengisahkan keperibadian, sumbangan dan legasi kesemua 13 Yang di-Pertuan Agong yang bersemayam sejak negara merdeka pada 1957.
Buku yang mengandungi 352 halaman itu turut memaparkan 620 keping gambar termasuk 415 gambar bersejarah dan yang dirakamkan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong Keempat, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Sultan Zainal Abidin yang memenangi pertandingan Internationale de I'art Photograpique di Switzerland.
Penerbitan buku itu dibarisi panel penasihat yang arif dalam sejarah sistem pemerintahan beraja negara antaranya Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Dr. Arshad Ayub, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin, Tan Sri Dr. Syed Jalaluddin Syed Salim dan Prof. Dr. Abdullah Zakaria Ghazali.
Ia juga telah disemak dan diperakukan oleh pihak istana di setiap negeri.
Azizah dalam ucapannya berkata, kisah kehidupan Yang di-Pertuan Agong boleh menjadi inspirasi dan pedoman kepada rakyat manakala pencapaian Seri Paduka boleh dijadikan pedoman kepada pelajar agar sentiasa mencapai kegemilangan dalam setiap bidang yang diceburi.
"Pada saya, banyak legasi dan inspirasi yang dapat dihayati daripada kisah-kisah setiap Yang di-Pertuan Agong kerana ia boleh memupuk semangat menghormati institusi yang menjadi identiti negara.
"Setiap Yang di-Pertuan Agong mempunyai keperibadian, aura dan legasi yang perlu diiktiraf dan dihargai," katanya.
Buku Tiang Seri Negara, Yang di-Pertuan Agong Semenjak 1957 itu boleh diperoleh di kedai buku terpilih pada harga RM499 senaskhah bermula hari ini.

No comments:

Post a Comment